Ayuh! Bersatulah Bangsaku.

Firman Allah Taala :
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya. ( Ali Imran :183 )

Fikirkan masa depan Agama kita. Fikirkan masa depan Anak Cucu Kita. Bersamalah kita membina Negara Bangsa ke arah Kesejahteraan dan Keberkatan hidup Dunia dan Akhirat. Keamanan, Kedamaian, Keharmonian, haruslah dipelihara dan dikekalkan. Malaysia Negara Tercinta, Tempat Tumpah darah, Anak Cucu Kita. Harus dipelihara Sampai Bila-bila.

ISLAM HIDUP DAN MATIKU

ISLAM HIDUP DAN MATIKU
IKUTI SUNNAH RASULULLAH kerana BAGINDA contoh pejuang ISLAM YANG TULEN yang diredhai ALLAH, bukan ULAMAK POLITIK YANG MENGHUKUM mengikut kepentingan politik dan keuntungan PUAKNYA sahaja. Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Demi jiwaku berada di bawah kekuasaan Allah, seseorang kamu tidak beriman sehinggalah dia mencintaiku (Rasulullah S.A.W) lebih daripada kecintaannya kepada anaknya, ayahnya dan manusia keseluruhannya. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Isnin, Oktober 19, 2009

Sudut Ilmu : TANDA-TANDA KIAMAT

Tanda-tanda Kiamat


Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.

Tanda-tanda Kiamat menurut agama Islam merupakan suatu petunjuk atau isyarat yang sudah hampirnya Hari Kiamat. Bermula dengan tanda-tanda kecil dan kemudian disusuli dengan tanda-tanda besar.

Tanda-tanda besar

• Keluar sejenis binatang dari perut bumi yang digelar Dabbatul Ardhi.

• Lahirnya Dajjal.

• Keluar asap tebal.

• Turunnya Nabi Isa a.s.

• Kemunculan Imam Mahdi.

• Matahari terbit dari ufuk barat.

• Keluarnya suku Yakjuj dan Makjuj.

• Diangkat al-Quran dan perkara-perkara yang baik

• Runtuhnya Ka'abah

• Terdengar tiupan sangkakala pertama.

• Ada azan tak di jawab

• 3 kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat, dan yang ketiga di Semenanjung Arab.

Tanda-tanda kecil

Didapati kini bahawa seluruh tanda-tanda kecil telah muncul dan terbukti seperti yang dinyatakan dalam hadis. Kebanyakan hadis-hadis ini dapat ditemukan di dalam Sahih Muslim, Sahih Bukhari dan Riwayat Tarmizi.

• Penaklukan Baitulmuqaddis

“ Dari Auf b. Malik r.a., katanya, "Rasulullah s. a. w. telah bersabda:"Aku menghitung enam perkara menjelang hari kiamat." Baginda menyebutkan salah satu di antaranya, iaitu penaklukan Baitulmuqaddis." - Sahih Bukhari[1]”

• Zina bermaharajalela.

“ "Dan tinggallah manusia-manusia yang buruk, yang seenaknya melakukan persetubuhan seperti himar (keldai). Maka pada zaman mereka inilah kiamat akan datang." - Sahih Muslim ”

• Pemimpin yang terdiri dari orang yang jahil dan fasik.

• Bermaharajalela alat muzik.

“ Pada akhir zaman akan terjadi tanah runtuh, rusuhan dan perubahan muka."Ada yang bertanya kepada Rasulullah; "Wahai Rasulullah bila hal ini terjadi?" Baginda menjawab; "Apabila telah bermaharajalela bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi-penyanyi wanita" - Ibnu Majah ”

• Menghias masjid dan membanggakannya.

“ Di antara tanda-tanda telah dekatnya kiamat ialah manusia bermegah-megahan dalam mendirikan masjid" - Riwayat Nasai. ”

• Munculnya kekejian, memutuskan kerabat dan hubungan dengan tetangga tidak baik[perlu petikan]

“ Tidak akan datang kiamat sehingga banyak perbuatan dan perkataan keji, memutuskan hubungan silaturahim dan sikap yang buruk dalam tetangga." - Riwayat Ahmad dan Hakim ”

• Ramai orang menuntut ilmu kerana pangkat dan kedudukan.

• Ramai orang soleh meninggal dunia[perlu petikan.

“ Tidak akan datang hari kiamat sehingga Allah mengambil orang-orang yang baik dan ahli agama dimuka bumi, maka tiada yang tinggal padanya kecuali orang-orang yang hina dan buruk yang tidak mengetahui yang makruf dan tidak mengingkari kemungkaran - Riwayat Ahmad ”

• Orang hina mendapat kedudukan terhormat.

“ Di antara tanda-tanda semakin dekatnya kiamat ialah dunia akan dikuasai oleh Luka' bin Luka'(orang yang bodoh dan hina). Maka orang yang paling baik ketika itu ialah orang yang beriman yang diapit oleh dua orang mulia" - Riwayat Thabrani ”

• Mengucapkan salam kepada orang yang dikenalnya sahaja.

“ "Sesungguhnya di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah manusia tidak mahu mengucapkan salam kepada orang lain kecuali yang dikenalnya saja." - Riwayat Ahmad ”

• Banyak wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya telanjang.

“ Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a.

"Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah akan muncul pakaian-pakaian wanita dan apabila mereka memakainya keadaannya seperti telanjang." ”

• Bulan sabit kelihatan besar.

“ Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah menggelembung (membesarnya) bulan sabit." - Riwayat Thabrani”

• Banyak dusta dan tidak tepat dalam menyampaikan berita

“ Pada akhir zaman akan muncul pembohong-pembohong besar yang datang kepadamu dengan membawa berita-berita yang belum pernah kamu dengar dan belum pernah didengar oleh bapa-bapa kamu sebelumnya, kerana itu jauhkanlah dirimu dari mereka agar mereka tidak menyesatkanmu dan memfitnahmu" - Sahih Muslim ”

• Banyak saksi palsu dan menyimpan kesaksian yang benar

“ Sesungguhnya sebelum datangnya hari kiamat akan banyak kesaksian palsu dan disembunyikan kesaksian yang benar" - Riwayat Ahmad ”

• Negara Arab menjadi padang rumput dan sungai

“ Tidak akan datang hari kiamat sehingga negeri Arab kembali menjadi padang rumput dan sungai-sungai." - Sahih Muslim ”

• Banyaknya sifat bohong dan ia menjadi perkata biasa.

• Jarak-jarak antara pasar menjadi dekat (menunjukkan banyaknya kegiatan perdagangan)[perlu petikan]

“ Banyaknya sifat bohong, pendeknya waktu, dekatnya jarak-jarak antara pasar-pasar." - Riwayat Bukhari ”

• Manusia mewarnai rambut di kepalanya dengan warna hitam supaya kelihatan muda[perlu petikan]

“ Pada akhir zaman akan muncul suatu kaum yang mencelupi rambut mereka dengan warna hitam seperti 'bulu merpati' yang mereka itu tidak akan mencium bau syurga." - Sahih Abu Daud & Nasai ”

• Kekayaan umum dikuasai segelintir orang tanpa kebenaran dan tanpa rasa takut, termasuk rasuah dan mengambil harta secara tersembunyi.


• Akan terdapat banyak pengkritik, pembawa-cerita, penikam-belakang dan pengejek dalam masyarakat.


• Orang akan mendirikan hubungan dengan orang tak dikenali dan memutuskan hubungan dengan yang rapat dan disayangi.


• Orang akan melakukan homoseksual.


• Akan terdapat ramai anak luar nikah.

- Abdullah Ibn Mas'ood (R.A.)

• Berkurangnya sifat amanah


• Terasa berat untuk menjalankan syariah (zakat dijadikan hutang)


• Lelaki mentaati isterinya tetapi menderhakai ibunya.


• Lelaki berkasar dengan bapanya tetapi beramah dengan rakannya.


• Suara manusia meninggi (menjerit dan berteriak) di masjid-masjid.


• Pemimpin suatu kaum adalah keji dan pemimpin suatu suku adalah fasik


• Lelaki dihormati bukan kerana budi dan kebaikan tetapi kerana takut akan kejahatannya

“ Dari Ali dan Abu Hurairah r.a.: "Apabila harta rampasan perang (milik umum) dikuasai segelintir orang sahaja, barang amanah menjadi rampasan, harta zakat menjadi hutang, seorang lelaki mentaati isterinya dan menderhakai ibunya, berbuat baik kepada temannya dan berbuat kasar kepada bapanya, suara-suara tinggi di masjid-masjid, yang menjadi pemimpin suatu kaum (bangsa) adalah orang yang hina (berkelakuan/bersifat keji) di antara mereka dan orang yang menjadi ketua suatu suku (kabilah) adalah orang fasik di antara mereka, seorang lelaki dihormati kerana takut jahatnya, arak biasa diminum, sutera biasa dipakai (oleh lelaki), munculnya penyanyi perempuan dan alat-alat muzik, orang yang di kalangan umat terkemudian akan melaknat (mengutuk) umat terdahulu, maka ketika itu hendaklah mereka menunggu kedatangan angin merah atau pembalikan bumi atau keburukan bentuk-bentuk atau tanda-tanda yang beriringan seperti tali yang putus maka jatuhlah biji secara berterusan". - Riwayat Tarmizi ”


• Anggota polis semakin ramai yang menunjukkan semakin banyak kerosakan


• Mendahulukan lelaki menjadi imam bukan kerana ilmu tetapi kerana suara...


• Penjualan jawatan atau kepemimpinan (politik wang)


• Memandang rendah kepada darah

“ Rasulullah bersabda: "Bersegeralah untuk melakukan amal soleh apabila telah muncul enam perkara: perlantikan pemimpin yang boodoh, ramainya bilangan anggota polis, penjualan kepemimpinan, tiada penghargaan terhadap darah, pemutusan silaturrahim, orang mabuk menjadikan al-Quran sebagai alat nyanyi yang mereka mendahulukan seseorang antara mereka menjadi imam agar dapat menyanyikannya walaupun orang tersebut paling sedikit ilmunya." - Sahih Riwayat Tabrani & Ahmad ”


• Seorang isteri bekerja dalam satu syarikat dengan suaminya. (Malah isteri berpangkat lebih besar)

“ Dari riwayat Ibnu Masud: "Di pintu gerbang (dekatnya) hari kiamat: Salam hanya kepada orang yang khusus (sudah dikenalinya), tersebar dan berkembangnya perdagangan sehingga seorang isteri membantu suaminya berdagang" - Sahih Lighairihi Riwayat Ahmad ”


• Munculnya gaya hidup mewah dan manja di kalangan umat Islam

“ Apabila umatku berjalan dengan sombong dan yang melayan mereka adalah putera-puteri raja, putera-puteri Parsi dan Rom, maka orang yang paling buruk akan berkuasa terhadap orang yang paling baik (pilihannya)." - Riwayat Tarmizi, Sahih Abdullah ibnu Umar r.a. ”


• Orang fasik dimuliakan sedangkan orang mulia dan terhormat direndahkan

“ Sungguh hebat dia, sunggu jarang orang seperti dia dan sungguh pintar dia sedangkan di dalamnya tidak ada iman sedikitpun" - Riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad, Tarmizi, Ibnu Majah ”


• Banyak orang berharap untuk mati kerana banyaknya kekacauan ataupun kesengsaraan

“ "Tidak akan berlaku kiamat sehingga apabila seorang lelaki melalui sebuah kubur maka ia akan berkata: 'Aduhai seandainya aku juga berada ditempatnya.'" - Riwayat Bukhari[2] dan Muslim ”

• Banyaknya berlaku gempa bumi[2]

• Banyaknya berlaku huru-hara yang menyebarkan kejahatan[2]

• Banyaknya berlaku pergaduhan dan pembunuhan[2]

“ "Kiamat tidak akan berlaku kecuali apabila ilmu telah diangkat, banyaknya berlaku gempa bumi, timbulnya huru-hara dan banyak pergaduhan iaitu pembunuhan - Sahih Bukhari[2]”

• Munculnya mati mendadak atau mati secara tiba-tiba


• Masjid dijadikan jalan iaitu seseorang muslim melalui masjid tanpa melakukan solat

“ Masjid dijadikan sebagai jalan-jalan dan timbulnya mati mendadak" - Hasan At-Tayalisy. ”

Ahad, Oktober 18, 2009

Sudut Ilmu : IMAN DAN TAQWA

Iman


Erti Iman (الإيمان) secara harafiah dalam Islam adalah bererti percaya kepada Allah. Dengan itu orang yang beriman adalah ditakrifkan sebagai orang yang percaya (mukmin). Siapa yang percaya maka dia dikatakan beriman. Perkataan Iman (إيمان) diambil dari kata kerja 'aamana' (أمن) -- yukminu' (يوءمن) yang bererti 'percaya' atau 'membenarkan'. Perkataan Iman yang bererti 'membenarkan' itu disebutkan dalam al-Quran, di antaranya dalam Surah At-Taubah ayat 62 yang bermaksud:

"Dia (Muhammad) itu membenarkan (mempercayai) kepada Allah dan membenarkan kepada para orang yang beriman."

Takrif Iman menurut istilah syariat Islam ialah seperti diucapkan oleh Ali bin Abi Talib r.a. yang bermaksud: "Iman itu ucapan dengan lidah dan kepercayaan yang benar dengan hati dan perbuatan dengan anggota."

Aisyah r.a. pula berkata: "Iman kepada Allah itu mengakui dengan lisan dan membenarkan dengan hati dan mengerjakan dengan anggota."

Imam al-Ghazali menghuraikan makna Iman adalah: "Pengakuan dengan lidah (lisan) membenarkan pengakuan itu dengan hati dan mengamalkannya dengan rukun-rukun (anggota-anggota)."

Iman ialah membenarkan dengan hati, menyatakan dengan lisan, dan melakukan dengan anggota badan. Ringkasnya orang yang beriman ialah orang yang percaya, mengaku dan beramal. Tanpa tiga syarat ini, seseorang itu belumlah dikatakan beriman yang sempurna. Ketiadaan satu sahaja dari yang tiga itu, sudah lainlah nama yang Islam berikan pada seseorang itu, iaitu fasik, munafik atau kafir.


Taqwa

Taqwa (bahasa Arab: التقوى‎, at-taqwá) ialah memelihara hubungan yang baik dengan Allah, memelihara diri jangan sampai terperusuk kepada perbuatan yang tidak diredhai oleh Allah S.W.T., memelihara segala perintahnya supaya dapat dilakukan dan memelihara segala larangannya supaya dapat dijauhi.

Peringkat taqwa

Taqwa boleh dibahagikan kepada tiga peringkat:

Taqwa Awami: taqwa kebanyakan orang yang masih dipengaruhi oleh runtunan syahwat, masih terpukau oleh godaan dunia dan berhadapan dengan tipu daya syaitan. Namun mereka berjuang menentang unsur-unsur negatif yang tersebut dengan semangat taqwa.

Taqwa Khowasi: taqwa yang lebih tinggi kualitinya daripada Taqwa Awami kerana orang yang bertaqwa pada tahap ini telah dapat melaksanakan diri daripada belenggu nafsu amarah, dorongan untuk melakukan maksiat dapat dihindari dan maksiat-maksiat zahir seperti maksiat mata dan lidah dapat dijauhi.

Taqwa Khowasu Khowasi: tahap taqwa yang tertinggi. Orang yang berada pada taqwa tahap ini telah terlepas daripada lingkaran maksiat zahir dan maksiat batin, bebas pengaruh nafsu amarah dan nafsu lauwwamah. Mereka telah mencapai ke tahap nafsu mutmainnah (jiwa yang tenang).

Diambil daripada http://ms.wikipedia.org/

Sabtu, Oktober 17, 2009

PKR sudah BERGOLAK

Khabarnya Zaid dan Azmin berkrisis. Zaid telah menghantar surat untuk bercuti selama enam bulan dari melibatkan diri dengan aktiviti PKR.
Berikut adalah daripada sumber Malaysiakini untuk bacaaan bersama :




Zaid bercuti, krisis terbaru PKR?

Datuk Zaid Ibrahim hari ini membuat pengumuman mengejut untuk bercuti selama enam bulan daripada PKR di tengah-tengah ura-ura beliau menghadapi masalah dengan seorang pemimpin kanan parti.


"Ini bermakna saya tidak akan menghadiri mesyuarat biro politik parti," kata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dalam satu kenyataan hari ini.


Surat itu, yang berkuatkuasa serta-merta, diserahkan kepada Setiausaha Agung PKR Datuk Salehuddin Hashim.

Pengumuman cuti Zaid ini dibuat sewaktu muncul khabar bahawa beliau berkemungkinan meninggalkan PKR.

Zaid, yang baru mengumumkan penyertaannya bersama parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu pada Jun lalu, dipercayai berdepan masalah besar menjalankan tugasnya untuk menyatukan pembangkang susulan pergeserannya dengan Naib Presiden PKR Azmin Ali.



Beliau, yang juga ahli parlimen Gombak, dilaporkan tidak senang dengan peranan Zaid yang akan dihantar ke Sabah esok - berselinding di sebalik perjumpaan sambutan Aidifitri - untuk menyelesaikan penolakan ketua-ketua bahagian terhadapnya, yang dilantik sebagai pengerusi Majlis Pimpinan Negeri.

Dalam satu mesyuarat biro politik PKR Selasa lalu, Azmin (kiri) didakwa melepaskan kemarahannya terhadap bantahan ketua-ketua bahagian di Sabah sehingga Anwar sendiri sukar menenangkannya.


Dalam kenyataannya hari ini, Zaid bagaimanapun menafikan pembabitannya dengan isu kepemimpinan parti itu di Sabah dan Sarawak seperti dilaporkan Malaysiakini sebelumnya.

"Saya diundang menghadiri perhimpunan dan majlis Hari Raya anjuran pemimpin PKR untuk bertemu dengan ahli-ahli, yang saya sudah menerima pelawaan itu.

"Begitu juga saya turut diundang bertemu beberapa pemimpin Sarawak di Kuching. Saya tidak nampak sebarang niat buruk dalam undangan-undangan ini," katanya.


"Saya tidak apa-apa kepentingan dalam politik dalaman PKR atau parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat. Saya juga tidak berminat mengambil peranan kepemimpinan dalam PKR.


"Saya telah jelaskan perkara ini sejelas-jelasnya kepada Anwar sewaktu saya menyertai parti ini."

Selepas Azmin tidak senang dengan kehadiran Zaid di majlis berkenaan, Anwar pula menghalang bekas senator itu menghadirinya.

Tindakannya bercuti membolehkan beliau keluar daripada arahan pemimpin besar PKR itu.

Jumaat, Oktober 16, 2009

Bangkit untuk berubah

Saranan Najib untuk ahli UMNO berubah adalah sesuatu yang wajar memandangkan pada masa ini UMNO berada dalam keadaan tidak begitu baik. Semoga perubahan yang dibuat akan mendapat sambutan yang baik dari seluruh rakyat.
Kita ikuti petikan daripada UTUSAN untuk makluman bersama :


NAJIB Tun Razak berucap penuh bersemangat sambil para perwakilan bingkas bangun memberikan reaksi tanda menyokong Presiden UMNO itu pada Perhimpunan Agung UMNO 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

KUALA LUMPUR 15 Okt. – Setiap pemimpin dan ahli UMNO diminta bangkit menyalakan obor perubahan bagi memartabatkan perjuangan parti dengan keutamaan kepada kebajikan dan keperluan rakyat untuk membentuk kerajaan yang kuat serta stabil.


Dengan nada lantang dan tegas, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menyemarakkan semangat setiap perwakilan supaya bangkit bersama-samanya kerana amanah yang besar itu tidak mampu dipikul oleh beliau bersendirian.

“Bangkitlah semua bersama-sama saya,” seru Najib sambil para perwakilan dan tetamu spontan berdiri menyahut seruan beliau dengan memberikan tepukan gemuruh.

Malah sebahagian daripada mereka kelihatan sebak mendengar ungkapan Najib.

“Saya menyeru dan mengajak kepada Timbalan Presiden, kepada Naib-Naib Presiden, Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Puteri, kepada saf kepimpinan yang berada di atas, pejuang-pejuang UMNO di bawah, pejuang-pejuang UMNO di bahagian, pendokong-pendokong UMNO di cawangan, seluruh warga UMNO yang baru dan yang lama, di kota dan di desa, bangkitlah semua bersama-sama saya.

“Rapatkanlah barisan. Sahutlah panggilan. Marilah kita martabatkan warisan ini,” tegasnya.

Seruan Presiden UMNO itu disambut dengan laungan ‘Ya’ oleh para perwakilan yang bergema memenuhi Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra.

“Yakinlah, perjuangan kita adalah perjuangan yang betul, yakinlah, perjuangan kita adalah perjuangan yang hak.

“Kitalah, UMNO, satu-satunya parti yang membawa obor harapan dan mampu meneroka masa depan penuh gilang-gemilang.

“Walau apa pun dugaan, walau apa pun rintangan, bersama segunung harapan, perjalanan ini kita teruskan, bersama menggenggam keyakinan, segala impian pasti dilunaskan, setitik dijadikan laut, segumpal dijadikan gunung,” tegasnya yang terus disambut dengan laungan ‘Ya’ daripada perwakilan yang terus berdiri diresapi semangat ucapan Presiden Parti.

Najib menutup ucapan bersemangat itu dengan ungkapan: “Tradisi tetap kita junjung, perubahan tetap kita zahirkan.

“Kendati tergantung awan di langit, Telah terlanjur kubentangkan layar. Walau badai datang menggulung. Walau berdentum guruh di langit, walau bumi berkeping dua, takkan mungkin ku berbalik haluan. Hidup UMNO! Hidup Melayu!”

Pandangan Saya Mengapa ISA menang di Bagan Pinang



1. Pencalonan Isa menepati majoriti kehendak rakyat di Bagan Pinang.
    Kebijaksanaan Najib memilih Isa menjadi calon Bagan Pinang patut dipuji. Najib ternyata tidak boleh dipengaruhi oleh sesiapa melainkan rakyat Bagan Pinang. Ternyata Najib  mendahulukan kehendak rakyat dengan mencalonkan Isa. Ramai yang menganggap pencalonan Isa tidak tepat terutama Mahadhir. Beliau dengan jelas tidak bersetuju dari awal lagi pencalonan Isa. Mujurlah Najib tidak dapat dipengaruhi oleh beliau. Ternyata kehendak rakyat dapat mempengaruhi Najib mencalonkan Isa sebab pada awalnya hanya satu calon saja diberi untuk dipilih. Saya berharap pada masa-masa akan datang, Najib dapat mengenalpasti calon pilihan rakyat. Jangan sekali-kali mencalonkan calon pilihan sendiri atau orang lain dan mengenepikan calon pilihan rakyat kerana rakyat akan mengenepikan calon yang bukan pilihan rakyat. Formula ini patut digunakan. Rakyat di dahulukan adalah menjadi idaman rakyat.

2. Calon PAS adalah orang luar kawasan Bagan Pinang. Bagi saya tidak berapa cerdik kalau kita memilih wakil kita dari kalangan orang lain yang bukan dari tempat kita. Hanya orang tempat kita yang tahu masalah tempat kita. Kalau jadi wakil rakyat, dia akan senang lenang di tempat lain sedangkan kita dengan masalah tempat kita.

3. Rakyat telah terhutang budi dengan jasa yang telah ditaburkan oleh Isa semasa menjadi MB.  Isa tersisih bukan kehendak rakyat di tempatnya tetapi oleh teknikal parti. Jadi mungkin rakyat masih sayang kepadanya walaupun parti menghukumnya. Inilah masanya rakyat memberi peluang untuknya untuk menebus kesalahannya dan kembali berbakti kepada rakyat. Rakyat mana yang lupa kepada bekas MBnya kalau jasa dan baktinya selalu ditaburkan.

4. Rakyat Bagan Pinang adalah satu contoh pengundi yang bijak. Memilih mengikut keadaan semasa. Sokong dan tentang dengan tidak membabi buta. Kalau dulu tentang tapi sekarang sokong atau sebaliknya. Tidak hanya sokong dengan membuta tuli dan taksub. Adalah menjadi adat kalau hari ini kita sokong mungkin esok kita tentang berdasarkan kepada situasi semasa dimana apa yang baik dikatakan baik dan apa yang tidak baik akan dikatakan tidak baik. Walaupun bersalahan dengan naluri kita jika baik tentu sekali kita menyokongnya dan kalau tidak baik tentu sekali kita tentang.

5. Pendekatan 1malaysia yang telah diterima oleh rakyat pelbagai kaum. 1malaysia menganggap semua kaum di Malaysia adalah satu bangsa di mana sama-sama berhak menikmati rezeki yang ada di Malaysia. Berbanding dengan pendekatan Islam Hadhari oleh Pak Lah yang membabitkan satu kaum dan satu agama saja. Walaupn baik tetapi orang Islampun tidak berapa setuju dengan pendekatan ini apatah lagi bangsa yang bukan Islam sudah tentunya tidak bersetuju tetapi didiamkan kerana ia melibatkan soal agama. Jadi ternyata pendekata Najib lebih BIJAK kerana merangkumi semua kaum. Tidak hairanlah undi bagi kaum lain meningkat pada PRK Bagan Pinang. PAS tidak boleh memainkan isu ini kerana ia juga seolah-olah ke arah itu kerana pandangan pemimpinnya telah terbuka sedikit. Kalau tidak masakan dapat bersama dalam Pakatan Rakyat yang tidak rasmi itu. Rakyat tidak boleh diperbodohkan!

6. Undi Pos yang ternyata menyebelahi BN yang dirungsingkan oleh PAS sejak awal-awal lagi. Mengapa PAS runsing saya pun hairan kerana hampir 100% tentera adalah orang Islam. Mengapa orang PAS takut kepada orang Islam sedangkan ia parti Islam. Sepatutnya dia tidak takut kerana orang Islam akan menyokong parti Islam kalau kita fikir logik. Tetapi mengapa majoriti tentera menolak PAS. Sudah pastinya mereka kurang yakin dengan kemampuan PAS dan ternyata mereka terhutang budi dengan Najib yang banyak memberi manafaat kepada mereka yang mana menaikan gaji dan elaun mereka semasa Najib menjadi Menteri Pertahanan. Jasa yang dicurahkan ternyata orang akan ingat. Orang yang tidak mengenang budi saja yang lupa pada jasa-jasa yang kita taburkan.

7. PAS mengeluarkan hukum yang mengelirukan yang mana tidak dapat diterima oleh majoriti umat Islam. Bukan saja rakyat kemaca tetapi mufti pun menyangkalnya.

8. Penyertaan PAS dalam PR sebenarnya tidak menguntungkan PAS dari segi jangka panjang. PAS boleh berkawan dengan DAP menjadi tanda tanya bagi umat Islam. Adakah dengan Penyatuan ini menguntungkan PAS atau memusnahkan PAS. Hal ini semuanya rakyat memikirkannya.

Justeru itulah rakyat memilih BN di Bagan Pinang untuk mempertaruhkannya kerana keyakinan bahawa BN boleh membawa kepada keharmonian dan pembangunan di Bagan Pinang.

***************
Namun begitu kita ikuti pendedahan tuan empunya diri memberitahu resepi kemenangannya yang saya ambil dari Malaysiakini.

Isa dedah resipi kemenangan

oleh :Salhan K Ahmad

Tan Sri Isa Samad mengakui bahawa kemenangan beliau mempertahan kerusi DUN Bagan Pinang juga kerana beliau pemimpin setempat dan mempunyai ramai kawan dan saudara-mara di situ.

Kemenangan bekas menteri besar itu di kerusi DUN berkenaan Ahad lalu menjadi bahan ucapan perwakilan sewaktu membahaskan ucapan dasar presiden di perhimpunan agung Umno yang sedang berlangsung di PWTC, Kuala Lumpur.

Wakil Umno Negeri Sembilan, Datuk Ishak Ismail berkata, ia menunjukkan BN boleh menang sekiranya pucuk pimpinan meletakkan calon yang dipilih oleh bahagian.

Beliau juga memuji sikap Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang berani menerima calon pilihan bahagian walaupun ada pihak yang tidak menyetujuinya.

Sebelum ini, mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Isa tidak patut dicalonkan kerana pernah terbabit dalam politik wang pada pemilihan Umno 2004.

Ekoran itu, Isa dikenakan hukuman penggantungan keahlian Umno selama tiga tahun. Beliau juga turut melepaskan jawatan menteri Wilayah Persekutuan yang disandangnya ketika itu.

Manakala wakil Terengganu, Datuk Dr Rosli Mat Hassan pula menggesa pucuk pimpinan parti supaya jangan lagi meletakkan calon 'payung terjun' dalam pilihan raya.

Menurutnya, apabila calon yang dicadangkan di peringkat bahagian tidak diterima oleh pucuk pimpinan, maka dalam pilihan raya umum lalu, ramai calon BN yang tewas.

'Kemenangan bermakna'

Isa, ketika ditemui Malaysiakini semalam, menyifatkan kejayaan besarnya itu sebagai kemenangan kepada Umno dan BN.

Beliau mengakui bahawa kemenangan itu juga kerana beliau seorang pemimpin setempat dan "saya ada ramai kawan dan saudara-mara (di situ)".

"Di tempat lain kita kalah di kerusi yang kita tidak menang pada 2008. Jadi mempertahankan kerusi di Bagan Pinang ini cukup besar ertinya.

"Sebab kerusi itu milik kita dan kita mempertahankannya," katanya.

Selepas ini, tambahnya, tumpuannya untuk menolong merampas semula kerusi parlimen Teluk Kemang yang dimenangi PKR tahun lalu.

Selain itu, katanya lagi, beliau akan memberi tumpuan untuk memberikan perkhidmatan di Bagan Pinang.

"Soal jawatan tidak timbul lagi. (Sebelum ini) saya fikir bagaimana hendak menang dengan majoriti bertambah, itu alhamdulillah, sudah berjaya.

"Yang kedua bagaimana hendak menyelesaikan tanggungjawab kepada pengundi di Bagan Pinang. Yang ketiga saya akan tumpukan kepada mengukuhkan Umno dan BN.

'Saya tak mahu jawatan'

"Saya tidak fikir jawatan. Jawatan tidak ada apa bagi saya sebab semua (saya) sudah rasa. Saya sudah pernah jadi exco, saya dah pernah jadi MB, sekarang fokus saya adalah untuk memberikan perkhidmatan kepada masyarakat Bagan Pinang, Teluk Kemang dan membantu negara," jelasnya.

Beliau menjelaskan telah memulakan kerja-kerja untuk merampas kembalik kerusi parlimen Teluk Kemang, bahagian Umno yang diketuainya.

"Ya itu adalah sasaran kita, kita sudah mulakan kerja-kerja... Semalam saya sudah jumpa semua pemimpin parti komponen Bagan Pinang untuk bincang soal pembangunan.

"Sehari sebelum semalam, saya dah jumpa pemimpin-pemimpin Umno. Saya dah mula dah dan saya dah dapat satu senarai dan kita akan mula melaksanakan (kerja-kerja tersebut)," katanya.

Mengenai pilihan raya kecil yang baru berlalu, Isa berkata isu berkaitan tindakan disiplin yang pernah dikenakan Umno sebelum ini tidak lagi relevan kerana beliau diberikan mandat oleh presiden untuk memenangi kerusi berkenaan.

"Tindakan disiplin saya itu kira tolak tepilah. Saya dah tak kira lagi dah. Sebab bagi saya, bila diminta untuk bertanding, saya punya fokus seperti yang dikehendaki presiden parti, buat yang terbaik dan capai kemenangan.

"Saya diminta tunai tanggungjawab, itu saja. Tidak jadi apa masalah kepada saya walaupun tindakan disiplin itu menjadi isu yang ditimbulkan oleh pembangkang, tetapi saya ingat isu di kalangan mereka lebih besar, yang dah saya jawab awal-awal.

'Akan kerja kuat'

"Adakah saya melakukan jenayah? kalau pemimpin pembangkang mendakwa saya telah melakukan jenayah tetapi (pemimpin) mereka telah masuk penjara dan sebagainya. Kalau orang yang telah masuk penjara boleh bertanding, takkan saya tidak boleh bertanding?" soalnya.

"Nampaknya mereka begitu gembira kerana semuanya sehingga presiden datang mengharapkan kita menang di Bagan Pinang. Oleh sebab itu sokongan Umno kepada saya sungguh kuat sekali," katanya ketika ditanya mengenai penerimaannya dalam Umno.

"Dan saya ingat mereka bekerja pun bersungguh-sungguh dan apabila kita capai kemenangan sebab itu semua orang rasa sangat gembira," katanya.

Jelasnya lagi, beliau tidak menghadapi apa-apa masalah untuk meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat biasa.

"(Saya) tidak ada masalah sebab sebagai wakil rakyat, saya sudah jadi wakil rakyat berpuluh-puluh tahun. Saya cuma tidak jadi wakil rakyat selama setahun tiga bulan.

"Saya juga pernah berkhidmat sebagai ahli parlimen Jempol, tidak ada masalah untuk jadi wakil rakyat biasa," katanya lagi.

Tambahnya, kemenangan BN di Bagan Pinang juga bakal menjadi dorongan moral dan titik perubahan kepada parti itu untuk memenangi pilihan raya kecil lain selepas ini.

"Kemenangan di Bagan Pinang ini kita maklum akan jadi satu dorongan, turning point yang baik untuk BN bangkit semula kerana kemenangan ini sesuatu yang menarik, selain daripada majoriti bertambah.

Menang di semua saluran

"Kita menang semua peti undi dan menariknya kita menang di semua saluran. Termasuk saluran pengundi muda," katanya lagi.

Kempen 1Malaysia yang diketengahkan oleh perdana menteri, yang juga presiden Umno, disifatkan olehnya sebagai satu sebab besar kemenangannya.

"Sudah tentu sebab kempen 1Malaysia oleh perdana menteri di semua tempat, khususnya kepada masyarakat bukan Melayu.

"Respons terhadap kempen 1Malaysia itu sangat baik. Satu lagi adalah kerana saya adalah pemimpin setempat. (Saya) ada ramai kawan dan saudara mara (di situ).

Katanya lagi, PAS tidak melakukan pembaharuan dalam strategi kempen, dan menolak wujudnya tekanan ke atas pengundi-pengundi di kawasan estet yang menyokong parti itu pada pilihan raya umum 2008.

"Pembangkang sebenarnya tidak ada banyak beza, strategi mereka serupa saja. Cuma itu (bergantung) sama ada pengundi percaya atau tidak.

"Bagi orang Bagan Pinang, mereka telah menolak apa-apa isu yang direka oleh mereka, yang tidak realistik.
"Saya boleh tunjuk, satu kempen mereka kata mereka akan naik taraf jalan-jalan kalau mereka menang.

"Bagi orang yang tahu, mereka akan ketawa. Kalau mereka menang, apa kuasa yang mereka ada (untuk tunaikan janji berkenaan)? Tapi bagi orang yang tidak tahu, (mereka) akan terperangkap," kata Isa.

Jelasnya lagi, PAS juga tidak mempunyai isu yang ditimbulkan, selain isu rasuah dan kezaliman Umno.

"Kalau dalam pilihan raya sebelum ini di kawasan estet kenapa mereka tidak kata begitu?

"Mereka sepatutnya terima sajalah (kekalahan). Bila kita kalah di Permatang Pasir, kita cuma terima kenyataan itu.

"Mereka sentiasa mencari perkara yang hendak disalahkan. Mereka tidak boleh terima (ketewasan), itulah masalah dengan pembangkang ini," katanya lagi.

Isnin, Oktober 12, 2009

BN MENANG BERGAYA DENGAN MAJORITI BESAR

BN memenangi kerusi DUN Bagan Pinang dengan majoriti yang besar. Rakyat Bagan Pinang telah menjadikan Isa sebagai wakil rakyat baru mereka. Ternyata Isa seolah-olah jadi wira kepada UMNO di Negeri Sembilan. Jasa-jasanya yang lalu sebagai bekas Menteri Besar tidak dilupai rakyat. Mungkin itulah rakyat memilihnya menjadi wakil mereka.



BN MENANG BESAR
PORT DICKSON 11 Okt. – Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang dengan memperoleh 8,013 undi menewaskan Pas.

Majoriti yang diperoleh calon BN, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad meningkat kepada 5,435 undi berbanding 2,333 undi pada Pilihan Raya Umum 2008.
BN menang di semua lapan daerah mengundi termasuk tiga daerah yang dimenangi pembangkang pada Mac tahun lalu.
Calon Pas, Zukefly Mohamad Omar hanya memperoleh 2,578 undi. Pas kalah di semua 18 saluran mengundi.
Keputusan Pilihan Raya Kecil N31 itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Abdul Wahab Shamsuddin pada pukul 8 malam di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).
Sebanyak 82 peratus pengundi di Bagan Pinang hari ini keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Segala bentuk provokasi dan pergaduhan yang timbul menjelang hari pengundian tidak menghalang pemilih untuk keluar mengundi sekaligus melonjakkan sokongan kepada BN.
Kemenangan itu juga memecahkan kebuntuan BN yang tewas di enam pilihan raya kecil di Semenanjung. BN hanya menang satu kerusi iaitu di DUN Batang Air, Sarawak.
Ketika pengumuman dibuat, Mohd. Isa turut berada di dalam dewan sambil diiringi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta pemimpin BN yang lain.
Pengumuman kemenangan beliau turut dirai dengan sorakan penyokong BN yang berada di luar dewan.
- UTUSAN