Berita Harian
KUALA LUMPUR: Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat Raja-Raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.
Baginda bertitah, wasiat disampaikan ketika Raja-Raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 ialah:
Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia);
Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama kaum lain;
Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman luar;
Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah negara ini;
Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan;
Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu;
Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum lain. (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).
Baginda bertitah demikian pada majlis pelancaran buku Allahyarham Prof Syed Hussein Alatas berjudul Mitos Pribumi Malas, Keintelektualan Masyarakat Membangun dan Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi di sini, semalam. ***************************
Tujuh wasiat ini harus yang dititahkan oleh baginda Sultan Perak harus diteliti dan diambilkira oleh orang Melayu untuk diambil ikhtibar daripadanya. Kedaulatan raja Melayu harus dijaga oleh orang Melayu sendiri. Tanpa kedaulatan raja siapalah kita orang-orang Melayu!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan