Ayuh! Bersatulah Bangsaku.

Firman Allah Taala :
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya. ( Ali Imran :183 )

Fikirkan masa depan Agama kita. Fikirkan masa depan Anak Cucu Kita. Bersamalah kita membina Negara Bangsa ke arah Kesejahteraan dan Keberkatan hidup Dunia dan Akhirat. Keamanan, Kedamaian, Keharmonian, haruslah dipelihara dan dikekalkan. Malaysia Negara Tercinta, Tempat Tumpah darah, Anak Cucu Kita. Harus dipelihara Sampai Bila-bila.

ISLAM HIDUP DAN MATIKU

ISLAM HIDUP DAN MATIKU
IKUTI SUNNAH RASULULLAH kerana BAGINDA contoh pejuang ISLAM YANG TULEN yang diredhai ALLAH, bukan ULAMAK POLITIK YANG MENGHUKUM mengikut kepentingan politik dan keuntungan PUAKNYA sahaja. Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Demi jiwaku berada di bawah kekuasaan Allah, seseorang kamu tidak beriman sehinggalah dia mencintaiku (Rasulullah S.A.W) lebih daripada kecintaannya kepada anaknya, ayahnya dan manusia keseluruhannya. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Rabu, Julai 29, 2009

Nik Aziz tidak ikhlas jalin kerjasama

utusan malaysia, 29 Julai 2009
KOTA BHARU 28 Julai - UMNO Kelantan menyifatkan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak ikhlas untuk menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Pusat yang ditunjangi parti itu sehingga sanggup mengeluarkan kata-kata yang tidak manis.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, ia jelas kerana Nik Abdul Aziz hanya mahu mendapatkan wang hasil daripada kerjasama yang dijalinkan dan bukannya atas prinsip perpaduan dan kepentingan umat Islam.
Beliau berkata, perkataan 'jahanam' yang digunakan oleh Nik Abdul Aziz tidak mencerminkan sifatnya sebagai seorang alim ulama dan ia seolah-olah sengaja disebut kerana ingin menjatuhkan maruah saudara seagama.
''Nampak macam tak ada keikhlasan, hendak berbaik kerana nak duit dan projek saja... tetapi parti soal lain, tak tahukah Perdana Menteri Kerajaan Pusat itu juga adalah Presiden UMNO, hendak berbaik dengan Pusat tetapi kata pergi jahanam UMNO, ini satu cela terhadap parti.
''Tidak munasabah langsung kata-kata ini datang daripada seorang tok guru... mulutnya bagi saya agak dahsyat. Kalau tidak puas hati dan tak suka pun takkanlah sampai kata pergi jahanam.... kita orang Melayu, orang Islam ada maruah,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Akauntan Sektor Awam ke-24 anjuran Persatuan Akauntan Sektor Awam Malaysia (Perasama) dan Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) di sini, hari ini.
Semalam Nik Aziz ketika menjelaskan secara mendalam maksud 'salam' yang dihulurkannya Sabtu lalu, berkata, ia hanya melibatkan Kerajaan Kelantan dan Kerajaan Pusat.
''Salam ini bukan di antara UMNO dengan Pas tetapi antara Kerajaan Kelantan dan Pusat, tak timbul masalah UMNO ini, pergi jahanamlah UMNO,'' kata Nik Abdul Aziz.
Sebelum ini, Nik Abdul Aziz dilaporkan sedia menghulurkan tangan untuk berbaik-baik dan melupakan sengketa politik Kerajaan negeri Pas dengan Kerajaan Pusat demi menjaga kepentingan rakyat dan perpaduan Islam.
Kenyataan itu mendapat reaksi positif Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang akan membawa perkara itu untuk dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi, Jumaat ini.
Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, tindak tanduk Nik Abdul Aziz juga seolah-olah menunjukkan bahawa beliau tidak memahami bahawa Kerajaan Pusat yang ada hari ini ditunjangi oleh UMNO.
''Saya hairan bagaimana dia (Nik Aziz) boleh membezakan antara Kerajaan Pusat dan UMNO, Kerajaan Pusat ini didukung dan ditunjangi oleh UMNO, jadi nampak seolah-olah dia pokok tak mahu tapi buah nak makan,'' katanya.
Beliau berkata, UMNO sentiasa terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak termasuk Pas dalam soal berkaitan kepentingan rakyat dan perpaduan di kalangan orang Melayu dan umat Islam.
''UMNO sentiasa sedia kalau nak berbaik dan berbincang, lihat saja kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Mustapa Mohamed.
''Tetapi kalau di sebelah sana (Pas) mempermain dan mempersendakan perkara yang penting, sekali boleh, lepas itu tak boleh, susahlah... tetapi pendirian UMNO tetap sama, kita sedia bila-bila masa, tunggu saat dan ketika kesungguhan serta keikhlasan di sebelah sana,'' katanya.
***************
Dipetik dari Utusan Malaysia untuk koleksi penulis.

Tiada ulasan: